Ustazah Nurhidayah merupakan antara asatizah paling awal, dan paling lama, yang telah berkhidmat dengan penuh komitmen dan bersemangat di Quranbit.

Quranbit sangat-sangat bersyukur dapat bertemu dengan Ustazah Hidayah yang telah mengajar lebih dari 100 pelajar, dan ramai di antara pelajar-pelajarnya yang masih mengikuti kelas Quranbit bersamanya.

Kita bersembang dengan Ustazah Nurhidayah untuk mendengarkan pengalamannya dan apa yang mendorong beliau untuk terus mengajar di platform Quranbit @ Masjid Wak Tanjong.

𝗦𝗲𝗿𝘁𝗮𝗶 𝗤𝘂𝗿𝗮𝗻𝗯𝗶𝘁, 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺 𝗯𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗤𝘂𝗿𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗹𝗮𝗹𝘂𝗶 𝗰𝗵𝗮𝘁: quranbit.waktanjong.org

 

 

 

Quranbit (QB): Bagaimana mendapat peluang mengajar di Quranbit? Saya memahami bahawa Ustazah antara asatizah yang terawal berkhidmat di Quranbit. 


Ustazah Nurhidayah (UN): Masih ingat lagi, hari dimana saya dihubungi kawan tentang peluang mengajar Quran melalui whatsapp. Pada ketika itu, saya sedang merasa sedih dan susah hati kerana rasa tersempit dengan keadaan Covid tapi syukur Alhamdulillah, Allah buka kan pintu rezki saya pada masa yang sesuai. Serta-merta seorang anggota Quranbit menghubungi saya, terangkan dengan jelas dan ringkas tentang proses mengajar. Saya kemudian diberikan beberapa pelajar, sampai sekarang.

 

QB: Selama ini, apa pengalaman yang tak dapat dilupakan semasa mengajar Quranbit? 

UN: Pada awal pelancaran Quranbit, para asatizah dikehendaki untuk berikan semakan bacaan pelajar dalam masa 10 atau 15 minit. Saya adalah suri rumah sepenuh masa, jadi saya perlu sentiasa hentikan sebentar pekerjaan rumah untuk menyemak bacaan.

Contohnya, belum sempat nak mop lantai rumah, saya perlu henti sekejap sebab dapat notifikasi pelajar Quranbit. Alhamdulillah sekarang lebih mudah - kita dikehendaki untuk menyemak bacaan dalam masa 24jam.

 


QB: Berapa pelajar Ustazah selama ini? Ada pelajar yang Ustazah tak dapat lupakan?


UNSecara total, saya tak pasti. Mungkin lebih dari 100 pelajar. Ada yang kekal dengan saya, ada yg terpaksa henti. Ada juga yang terus menyepi.

Ramai pelajar yang saya tak dapat lupakan. Antaranya, Kak Syamira dari Malaysia. Seorang yang hari-hari tidak putus memberikan bacaannya yang amat bagus. Sayangnya, dia perlu berhenti atas sebab pekerjaannya.

Kak Farah, yang tinggal di America, seorang yang sungguh-sungguh hendak mendalami dan menghafal Al-Quran. Dia juga mengarang buku PDF beberapa surah yang bergambar, untuk memudahkan lagi untuk kita memaham erti ayat tersebut. Sama juga, perlu berhenti atas pekerjaan.

Cik Rosnah, sampai sekarang dia belajar dengan saya. Seorang yang peramah, pemurah dan tak kenal erti penat. 

 


QB: Pada pendapat Ustazah, berapa efektifkah belajar secara dalam talian (online) untuk pelajar Quranbit? Apakah manfaat pelajar dalam mempelajari Al-Quran dalam talian?

UN: Pastinya, belajar berdepan dengan guru lebih efektif dari berbagai aspek.

Tapi, belajar beberapa minit setiap hari melalui talian, jauh lebih baik dan efektif daripada tidak belajar langsung.

Cuma sejauh mana efeknya itu bergantung kepada bermacam-macam sebab. Kualiti ajaran guru, cara pembetulan, kefahaman pelajar, konsisten untuk melatih membaca setiap hari,kesabaran dan bermacam lagi.

Manfaat belajar Quran melalui talian pastinya banyak. Yang paling besar sekali adalah peluang: peluang untuk sesiapa saja, tak kira dari mana, umur berapa, bahasa apa, masa serta peluang untuk merasakan kemanisan mempelajari Al-Quran.



QBApa harapan Ustazah utk Quranbit pada masa yang akan datang? Apakah dorongan yang tetap membuat Ustazah tetap mengajar di Quranbit buat sekian lamanya?

UN: Sejujurnya, team Quranbit mencecah harapan saya dalam cara mereka melancarkan Quranbit. Saya amat kagum dengan kesungguhan dan semangat mereka. Saya sentiasa berdoa semoga Allah berikan team Quranbit kekuatan, kemudahan, kesabaran, semangat, idea-idea yang bermanfaat untuk mereka teruskan perjuangan ini. Itulah harapan saya.

Dorongan saya adalah para pelajar. Kesungguhan mereka untuk belajar Quran dengan sentiasa mencuba baca, walaupun kadang baca dengan perlahan atau dalam keadaan sakit, mereka tetap mencuba.


Saya pun perlu semangat seperti mereka.


Semoga kita sama-sama meraih syurga Allah nanti.

September 29, 2023 — Nabila Hanim